'Saya tak sertai FAM, FAM sertai saya'


November 1, 2024 15:12 MYT
Hasrat peminat bola sepak negara yang mahu melihat sentuhan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memperkasakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pasukan Harimau Malaya mungkin akan menjadi kenyataan.
Ia selepas satu kenyataan Tunku Ismail yang memberikan bayangan kemungkinan satu kerjasama akan terbentuk bersama FAM dalam tempoh terdekat.
Malah, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, baginda tidak akan menyertai FAM, sebaliknya FAM yang akan menyertai baginda memperlihatkan satu kerjasama yang berbeza akan berlaku.
"Saya tak sertai FAM, FAM sertai saya," katanya ketika membalas komen di Instagram miliknya.
Dalam perkongsian di laman media sosial baginda pada September lalu, organisasi berkenaan akan diketuai seorang Ketua Pegawai Bolasepak (CSO) atau Pengarah Teknikal selain dibantu beberapa pegawai lain antaranya Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.
Ramai yang melihat ia sebagai satu proses penswastaan, namun perkara itu dinafikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menjelaskan skuad negara dan bawah 23 tahun (B-23) akan diletakkan di bawah satu unit khas FAM.
Unit tersebut akan bertanggungjawab kepada pasukan negara termasuk membabitkan peruntukan kewangan serta barisan kejurulatihan pasukan.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;