TOTTENHAM HOTSPUR 1 WOLVERHAMPTON WANDERERS 0

Harry kane berkata bahawa dia sentiasa gemar menjaringkan gol selepas meledakkan golnya yang ke-250 buat Tottenham sewaktu menewaskan Wolves 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri malam tadi.

Kapten England itu menanduk masuk lintangan Ivan Perisic pada minit ke-64 untuk memastikan kemenangan pasukannya di Stadium Tottenham Hotspur.

Dengan gol ke-250 itu, Kane juga telah meledakkan gol yang ke-185 buat Spurs dalam saingan EPL, sekali gus memintas legenda Manchester City, Sergio Aguero sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol buat satu kelab dalam liga berkenaan.

Pada usia 29 tahun, Kane kini hanya perlu menyasarkan untuk memintas rekod 260 gol milik Alan Shearer dalam EPL, di mana hanya Andy Cole (187) dan Wayne Rooney (208) merupakan pemain dengan rekod lebih baik berbandingnya.

Gol itu juga merupakan yang ke-1000 dijaringkan Tottenham sepanjang sejarah EPL di laman sendiri, sekali gus menyertai kelompok elit yang hanya dibarisi Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool.

Bercakap kepada BT Sport, Kane berkata: "Ia sembilan atau 10 tahun yang luar biasa dalam Liga Perdana.

"Harap-harap akan ada tahun-tahun yang lebih panjang akan datang. Saya sentiasa gemar menjaringkan gol. Perkara paling penting adalah kami memenangi perlawanan ini dan kami perlu memulakan musim dengannya.

"Saya perlu memberikan pujian buat pemain kami, mereka menyerang dengan baik dan tidak dibolosi hari ini," katanya.