Harry Kane berkata dia masih mahu melihat Tottenham memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Penjaring terbanyak kelab itu, yang meninggalkan Spurs untuk menyertai Bayern Munich pada musim panas lalu, kini tertarik dengan corak permainan yang diterapkan pengurus baru Spurs, Ange Postecoglou, dalam mengubah nasib mereka sejak awal musim ini.

Mereka kini menduduki tangga teratas EPL dan kelihatan dapat menyaingi Manchester City dan Arsenal dalam perebutan kejuaraan walaupun baru melalui lapan perlawanan musim ini.

Kapten England itu, yang sudah menyesuaikan diri dengan kelab barunya, berharap dapat melihat bekas kelabnya itu menamatkan kemarau kejuaraan musim ini.

"Saya sudah menunjukkan sepanjang karier saya bahawa saya seorang penyokong Tottenham dan saya mahu melihat mereka berprestasi baik.

"Spurs beraksi baik, ia sesuatu yang hebat untuk dilihat. Seperti yang saya pernah katakan, pengurus mereka melakukannya dengan amat baik dengan cara mereka bermain ketika ini.

"Penyokong akan sentiasa berada di belakang pasukan ini dan itulah yang diperlukan mereka sepanjang beberapa tahun ini.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan Spurs dan Liga Perdana Inggeris," katanya.