Saya akan cuba sedaya upaya, Rob Friend rangka pelan jangka masa panjang

Najmi Iman
January 16, 2025 11:10 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, mahu membantu menaikkan semula martabat bola sepak Malaysia dan memenuhi segala perancangan yang bakal dilaksanakan bermula hari ini.
Kehadirannya ditagih untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad kebangsaan selain meningkatkan mutu permainan untuk bersaing dalam kancah antarabangsa.
"Saya sudah bermain untuk negara saya selama 15 tahun. Saya tahu perasaan ketika mewakili negara.
"Malaysia ialah negara yang perlu dibanggakan.
"Sebagai pemain, apabila menyarung jersi kebangsaan ia merupakan satu penghargaan. Ia adalah peluang sekali seumur hidup.
"Semua yang bertanggungjawab harus mengembalikan semula kebanggaan tersebut.
"Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Harimau Malaya," katanya.
Menerusi perkongsiannya di Youtube Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bekas pemain Kanada itu bakal menyediakan pelan terkemuka bagi menjadikan Harimau Malaya sebuah pasukan berdaya saing pada masa akan datang.
"Kami harus merangka perancangan, strategi dan memikirkan bagaimana kami boleh memberikan kejayaan jangka masa panjang kerana saya tidak berada di sini untuk pelan yang singkat," tambahnya.
#bola sepak #FAM #Persatuan Bolasepak Malaysia #Rob Friend #CEO
;