Maurizio Sarri bersetuju untuk mengikat lanjutan kontrak selama dua tahun di Lazio yang akan mengekalkannya bersama pasukan itu sehingga Jun 2025.

Lazio menjadi kelab ke-21 dikendalikan Sarri ketika pasukan Itali itu melantiknya pada Jun tahun lalu dengan kesepakatan sehingga 2023.

Jurulatih berusia 63 tahun itu kemudian membimbing Biancocelesti menamatkan kempen Serie A di tangga kelima musim ini, ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga keempat, Juventus, sekali gus memastikan tempat dalam Liga Europa musim depan.

Sarri, yang merupakan pengurus tertua memenangi gelaran Serie A sewaktu bersama Juventus musim 2019-20, mempunyai pengalaman luas dalam Liga Europa, di mana dia pernah memenangi trofi kejohanan itu bersama Chelsea pada 2019.

Lazio bersetuju untuk meneruskan pelaburan terhadap projek Sarri dengan mengumumkan bahawa jurulatih itu telah menandatangani kontrak baru bersama mereka, sekali gus menyaksikan jurulatih itu akan mengekalkan jawatannya bagi tiga musim akan datang.

Ujian utama Sarri ketika ini adalah untuk mengekalkan Sergej Milinkovic-Savic, yang dilaporkan sedang berada dalam perhatian Manchester United, bagi meneruskan cabaran Lazio di peringkat domestik dan Eropah musim depan.