Sarawak tanpa Ronny Harun berdepan Terengganu
April 1, 2017 17:29 MYT
Tempoh rehat tiga minggu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Sarawak untuk tampil dengan aksi lebih bertenaga dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA menentang Terengganu, malam ini.
Sarawak mengalami musim tidak menentu dengan beberapa keputusan dilakar dalam saingan Liga Super tidak memihak kepada mereka.
Lantas, kempen Piala FA menjadi peluang terbaik buat Sarawak memburu kejuaraan.
Terengganu menjadi halangan dalam suku akhir dan pengendali, David Usop, percaya segala kesilapan dan kelemahan yang terserlah sebelum ini sudah pun diatasi pemain-pemainnnya.
Tonggak import dari Filipina, Mark Hartmann sekali lagi dijangka memainkan peranan untuk membantu Sarawak memburu jaringan.
Hanya kapten, Ronny Harun, sah tidak diturunkan bagi aksi malam ini kerana masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami ketika mewakili skuad kebangsaan menentang Filipina minggu lalu.
"Kami ada masa untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana dua bulan sebelum ini jadual agak ketat. Kami tidak akan mengambil risiko dengan menurunkan Ronny," ujar David.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap tiada perbezaan ketara dalam corak permainan pasukannya jika dibandingkan dengan Sarawak.
Walaupun kedua-dua pasukan kini beraksi dalam liga yang berbeza, Irfan berasakan Terengganu tetap mampu memberi ancaman kepada pelawat jika ingin membawa bekalan selesa ke Kuching nanti.
"Saya menonton Sarawak beraksi berdepan T-Team dan kami mendapati ada beberapa pemain yang harus diawasi dan walaupun mereka beraksi dalam Liga Super, kualiti kedua-dua pasukan tidak terlalu ketara," kata Irfan.