Pertembungan di antara penyandang juara, Manchester City, dan seteru ketat, Liverpool, esok (8.30 malam waktu Malaysia) merupakan perlawanan yang sememangnya dinanti-nantikan.

Dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan, masing-masing di tangga pertama dan kedua, keputusan akhir boleh memihak kepada sesiapa sahaja, ada kalanya detik kemenangan ditentukan menerusi satu sentuhan ajaib pemain paling diharapkan.

Lebih setahun lalu, ketika semua pihak meramalkan Erling Haaland bakal meneruskan rentetan gol yang dicipta, keajaiban sebaliknya hadir daripada Mohamed Salah yang memanfaatkan sepenuhnya hantaran cantik penjaga gol Alisson untuk mengejutkan City dan menjamin tiga mata penting di Anfield.

April lalu pula menyaksikan keajaiban hadir bukan daripada seorang pemain semata-mata tetapi hasil kombinasi kemahiran taktikal dan kebijaksanaan pelbagai pemain City, menyebabkan Liverpool dibelasah 4-1 tanpa belas kasihan di Stadium Etihad.

Di saat ini, tidak ada perbezaan terlalu ketara di antara kedua-dua pasukan berbanding pertembungan dahulu.

Liverpool telah diperkuatkan oleh kehadiran pemain-pemain kreatif seperti Alexis Mac Allister dan Daniel Szoboszlai tetapi peranan bintang utama mereka masih tetap disandang oleh Salah yang merupakan penjaring kedua terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini, hanya di belakang Haaland yang masih turut sama mengekalkan peranannya sebagai ‘mesin gol’ City.

Perbezaan paling utama adalah Salah menjaringkan kesemua gol sewaktu beraksi sebagai pemain sayap kanan serta harus menyesuaikan diri dengan kehadiran Darwin Nunez sebagai penyerang utama dan bekerjasama dengan barisan pemain tengah yang rata-ratanya dipenuhi muka baru.

Babak pertama musim lalu menyaksikan Salah mendominasi perlawanan demi perlawanan dan kelihatan seperti mustahil untuk dihalang tetapi dia kemudian berlepas ke Piala Negara-Negara Afrika untuk beraksi bersama Mesir dan malangnya pulang sebagai pemain berbeza.

Liverpool mengakhiri musim itu di tangga kelima dan terlepas peluang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL), tetapi daripada cara Salah beraksi ketika ini, dia nyata bertekad untuk memastikan tragedi tersebut tidak berulang lagi.



Harus diingatkan kontrak Salah hanya berbaki setahun lagi dan jika dia ditakdirkan tidak lagi bersama The Reds, jurang yang ditinggalkannya hampir pasti mustahil untuk diisi.

Di pihak City pula, setelah pujian demi pujian dilambungkan terhadap Haaland, wajarlah perhatian turut sama ditumpukan kepada mereka yang mewujudkan peluang untuk pemain muda itu menyinar.

Menurut artikel Karen Carney terbitan The Guardian, kecederaan hamstring yang melanda Kevin De Bruyne seharusnya menyedarkan pengurus City, Pep Guardiola, bahawa pengganti jangka panjang perlu dibentuk.

Carney turut menyorot prinsip Guardiola yang mewajibkan kehadiran pemain bintang pilihannya dalam setiap perlawanan untuk beraksi sebagai paksi kreatif utama dan mendorong kemenangan.

Sewaktu bersama Barcelona, pemain yang memegang peranan itu semestinya adalah Lionel Messi, diikuti oleh Mario Gotze sewaktu bersama Bayern Munich, manakala David Silva adalah pemain yang dipilih beberapa tahun dahulu.

Jika dilihat pada musim lalu, setiap kali De Bruyne ditukarkan atas dasar strategi atau kerana kecederaan, pemain yang sentiasa masuk menggantikannya adalah Phil Foden.

Berbekalkan usia yang muda dan kebolehan beraksi di pelbagai posisi, Foden seharusnya terus menyinar dari musim ke musim, malangnya kecederaan serta persaingan sengit dalam pasukan telah membataskan peluang serta jumlah minitnya beraksi.

Dengan pentas yang tersedia esok, peluang terbuka luas untuk Foden akhirnya memateri tempatnya dalam kesebelasan utama secara berterusan, tetapi mampukah dia?