Saga baru perebutan kerusi panas PKBM
Najmi Iman
October 9, 2024 18:33 MYT
October 9, 2024 18:33 MYT
Tumpuan terarah pada Ahad ini (12 Oktober 2024) apabila teka-teki siapakah yang bakal dilantik sebagai Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), sekali gus bertanggungjawab menentukan hala tuju persatuan bagi penggal 2023-2026.
YBhg Dato’ Amarjit Singh Gill (Persatuan Berbasikal Perak), En Yunus bin Ibrahim (Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan), En Mazlan bin Md Jail (Persatuan Lumba Basikal Terengganu) merupakan tiga individu yang bakal bersaing untuk mendapatkan jawatan tertinggi PKBM.
Ketiga-tiga calon tersebut sudah membentangkan manifesto masing-masing termasuk keutamaan terhadap skuad senior berbasikal negara mengecapi kejayaan di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Namun, di kala kehangatan mengisi jawatan kerusi panas itu, episod baru bakal terjadi apabila pemangku presiden PKBM, Mazlan Md Jalil, mengumumkan langkah drastik untuk membatalkan agenda utama tersebut.
Menurut wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Mazlan mempunyai bukti kukuh untuk mencabar keputusan mesyuarat perwakilan yang berlangsung 27 September lalu.
"Saya telah melantik peguam perlembagaan untuk membincangkan apa yang telah dibawa oleh perwakilan saya dalam mesyuarat agung lalu.
"Saya mendapati ada beberapa perkara yang tidak menepati perlembagaan dan pihak saya telah dinasihati oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) supaya mengadakan mesyuarat mengikuti peraturan PKBM," luahnya.