Safee Sali harap jaringannya ke atas New Zealand jadi inspirasi skuad kebangsaan

Muzaffar Musa
October 9, 2024 19:46 MYT
Bekas penyerang negara, Safee Sali, berharap pemain Harimau Malaya dapat menjadikan kemampuannya meledakkan gol ketika menentang New Zealand sebagai inspirasi menjelang aksi persahabatan di laman lawan itu pada Isnin ini.
Bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu percaya skuad kendalian Pau Marti berkenaan mampu memberikan tentangan kepada All Whites, yang kini menduduki ranking ke-95 dunia, dengan kombinasi pemain tempatan, warisan dan naturalisasi.
Sebagai rekod, Safee, yang memiliki 76 penampilan antarabangsa sebelum mengumumkan persaraannya awal tahun lalu, menjaringkan gol dalam perlawanan kedua daripada dua pertemuan menentang All Whites pada 2006 dan gol itu sehingga kini menjadi jaringan terakhir Malaysia ke atas pasukan dari Oceania berkenaan.
Mengimbas kembali jaringan itu, Safee sebagai muka baru skuad negara bimbingan Norza Zakaria pada ketika itu, mengakui teruja menjaringkan gol pertamanya di pentas antarabangsa.
"2006 itu memang satu nostalgia menentang pasukan New Zealand, All Whites, dan saya masih ingat suasana pasukan ketika itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kami bermain dua kali menentang mereka, satu di Aukland dan satu di Kingston. Tewas sekali dan seri sekali dan saya dapat menjaringkan gol
"Biarpun dengan semua pemain tempatan, kami dapat memberikan saingan dengan New Zealand, yang ketika itu berada di ranking yang agak tinggi.
"Kali ini, Harimau Malaya dibarisi oleh pemain warisan, naturalisasi dan tempatan, jadi ia mungkin akan memberikan impak yang positif," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Safee Sali #Persahabatan Antarabangsa
;