Ronaldo terlalu mahal untuk mana-mana kelab Portugal, kata presiden Porto
Ammar Hakim
December 17, 2022 08:05 MYT
December 17, 2022 08:05 MYT
Cristiano Ronaldo terlalu mahal untuk dibeli oleh mana-mana kelab Portugal, menurut presiden Porto, Pinto da Costa.
Kontrak Ronaldo di Manchester United ditamatkan bulan lalu selepas dia mengkritik hierarki Red Devils -- termasuk pengurus Erik ten Hag -- dalam temu bual kontroversi dengan Piers Morgan.
Kapten Portugal itu mencipta lebih banyak tajuk utama di Piala Dunia Qatar, di mana dia diturunkan ke bangku simpanan untuk kemenangan 6-1 negaranya ke atas Switzerland pada pusingan 16, serta kekalahan suku akhir menentang Maghribi.
Pemain berusia 37 tahun itu, yang menggunakan kemudahan Real Madrid untuk berlatih, telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr dan kelab di mana dia memulakan kerjayanya Sporting CP.
Bagaimanapun, Da Costa berpendapat tidak mungkin pemenang Ballon d’Or lima kali itu akan kembali ke Portugal kerana tuntutan gajinya.
"Terpulang kepada dia dan kelab yang berminat, tetapi di Portugal, tiada siapa yang mempunyai kapasiti untuk memberinya apa yang dia peroleh dan masih mahu memperolehnya," katanya. "Dan dia berhak mendapatnya."
Ketua Porto itu juga mengesahkan bahawa pertahanan veteran Pepe dialu-alukan untuk kekal di kelab itu selagi dia cukup cergas untuk bermain.
Bekas pertahanan Real Madrid itu berusia 40 tahun pada bulan Februari, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda di penghujung kariernya.
Dia telah bermain tujuh kali untuk Porto musim ini dan memulakan empat daripada lima perlawanan Portugal di Qatar 2022.
Ditanya sama ada pembaharuan kontrak akan disediakan untuk Pepe, Da Costa berkata: "Selagi dia boleh bermain dan saya fikir dia akan bermain untuk lima atau enam tahun lagi."