Robben tenang kontrak berbaki enam bulan

Penulis Jemputan
January 19, 2018 08:50 MYT
Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben, kekal tenang mengenai masa depannya di Jerman tetapi dalam masa sama, bapanya mendedahkan wujud minat daripada pasukan lain untuk mendapatkannya.
Kontrak Robben bakal berakhir pada akhir musim ini dan bekas pemain skuad Belanda itu dilaporkan mula memikirkan untuk bersara lebih awal.
Pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan pada bulan lalu bahawa perbincangan kontrak lanjutan buat Robben dan Franck Ribery kini sedang cuba diusahakan.
Bagaimanapun, Robben dilihat tidak mahu memikirkan soal bakal muncul selaku ejen bebas pada Jun ini tatkala Bayern kini 13 mata mendahului di puncak Bundesliga.
"Tiada sebarang perbincangan dengan kelab buat masa ini tetapi saya kekal tenang.
"Apa yang penting adalah mengekalkan kecergasan dan fokus dalam setiap perlawanan," kata Robben.
Bekas pemain Real Madrid dan Chelsea itu telah memenangi gelaran Bundesliga sebanyak enam kali bersama Bayern dan dia sudah memikirkan beberapa permintaan apabila bergelar ejen bebas.
"Kami kekal tenang menunggu perkembangan perkara ini. Bayern akan datang kepada kami tidak kira cepat atau lambat kerana tiada sebarang batas masa.
"Robben sudah mula memikirkan beberapa permintaan," kata bapanya, Hans.
#Karl-Heinz Rummenigge #Arjen Robben #Bundesliga #Bayern Munich #Franck Ribery
;