Pemain kebangsaan Jerman, Marco Reus, berazam untuk kembali ke prestasi dan kecergasan sebenar untuk beraksi dalam Piala Dunia tahun hadapan selepas selesai menjalani pembedahan ligamen lutut.

Penyerang Borussia Dortmund itu mengalami kecederaan ketika meraih kejayaan DFB-Pokal ke atas Eintracht Frankfurt.

Hajat Reus untuk beraksi dalam Piala Dunia 2014 tidak kesampaian kerana ketika itu dia dihimpit kecederaan buku lali dan sekadar menyaksikan rakan sepasukannya meraih kejayaan muncul juara apabila menewaskan Argentina 1-0 dalam final.

Pemain berusia 28 tahun itu berikrar untuk mencari semula sentuhannya bagi membantu Dortmund dan Jerman bagi musim hadapan.

"Pembedahan tersebut telah berjalan dengan baik dan saya sudah dalam proses pemulihan," kata Reus.

"Saya akan cuba untuk menangani isu dengan segala upaya saya dan cuba yang terbaik untuk segera menjalani latihan di atas padang.

"Banyak perkara yang harus kami lakukan dengan jurulatih baru BVB, Peter Bosz, dan skuad kebangsaan dalam Piala Dunia Russia nanti. Ia sasaran saya bagi tahun 2018, untuk berada di prestasi kemuncak saya dan memberikan yang terbaik.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang memberikan sokongan kepada saya. Ia membantu saya menghadapi saat-saat sukar."