Walaupun dibelenggu masalah membabitkan kewangan kelab, skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengumumkan kehadiran pemain import baru bagi memperkuatkan posisi tertentu.

Pasukan Kedah musim ini akan dibarisi oleh bekas pemain import dari Terengganu iaitu Sony Norde dan Habib Haroon sebagai pemain import yang berpengalaman dalam saingan Liga Super.

Selain itu, posisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh penyerang sensasi, Ifedayo Olusegun, akan diisi oleh penyerang dari Serbia, Milos Gordic yang sebelum ini beraksi di China dengan nilai pasaran yang agak tinggi.

Wartawan Astro Arena, Zulhemi Zainal Azam, berkata bahawa Kedah mahu mengekalkan tradisi 'samba' dengan membawa masuk pemain pertahanan dari Brasil, Jose Cleyton, menggantikan Bojan Ciger bagi memberi saingan kepada pasukan Liga Super yang lain.

Dalam masa sama, kepulangan semula Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad ke bumi jelapang padi itu memberi gambaran tersendiri bahawa pasukan itu sememangnya dalam misi untuk mencabar kedudukan teratas liga.