Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata pasukannya akan berjuang hingga minit terakhir dalam persaingan takhta LaLiga selepas merapatkan kedudukan dengan dua mata kepada pendahulu, Atletico Madrid semalam.

Real menang 4-1 ke atas Granada bagi memberikan tekanan kepada pendahulu dengan berbaki beberapa perlawanan lagi, melintasi penghuni tangga ketiga, Barcelona yang tercicir mata apabila seri 3-3 dengan Levante.

Atletico kekal di landasan untuk menjulang gelaran LaLiga pertama sejak 2013-14, tetapi skuad kendalian Zidane masih lagi dalam persaingan jika berlaku kesilapan yang dilakukan anak buah Diego Simeone.

"Kami akan terus berjuang, dua lagi perlawanan dan kami akan berusaha sehingga penghujung, kami akan memberikan segala usaha," kata Zidane.

Dua aksi terakhir Atletico adalah bertemu Osasuna dan Valladolid, sementara Real bertemu Athletic Bilbao dan Villarreal pada hari terakhir.

Los Blancos tidak tewas dalam 16 perlawanan terakhir dalam LaLiga (M11 S5), rekod semasa terbaik dalam pertandingan itu, mereka menyamakan rekod terbaik yang dilakukan Zidane pada 2016-17 (P16 M12 S4).