Suatu ketika dahulu, kesemua pengurus yang pernah mengendalikan Manchester United gagal menentukan bagaimanakah caranya untuk menyerlahkan sepenuhnya potensi seorang pemain bernama Marcus Rashford.

Louis Van Gaal memilih untuk menggunakannya sebagai penyerang tengah, Jose Mourinho menugaskan dia di bahagian sayap, Ole Gunnar Solskjaer mencampur-aduk kedua-dua peranan tersebut, manakala Ralf Rangnick pula langsung enggan menggunakan Rashford dalam kesebelasan utama.

Menurut laporan The Guardian, Rashford sendiri pernah dipetik sebagai berkata dia memaksa dirinya untuk berlatih beraksi di kesemua posisi menyerang agar dapat memaksimumkan peluangnya turun ke padang, dan kini segala kesabarannya itu membuahkan hasil akhirnya.

Jika pada awal musim ini, kesemua penyokong menanti-nantikan Erling Haaland membolosi jaring dalam setiap perlawanan, peranan itu telah digantikan oleh Rashford sekarang.

Sejumlah 14 gol dalam 16 perlawanan, baik melalui rembatan mahupun tandukan, Rashford tidak mengecewakan walaupun sekali dalam musim ini.



Ada yang mengatakan gaya Rashford meraikan setiap jaringan -- meletakkan jari telunjuk di kepala -- merupakan balasannya terhadap kesemua pihak yang pernah mencemuh dan memperkecilkan kemampuannya sewaktu menempuh tempoh sukar dalam musim sebelum ini.

Dia seolah-olah mengatakan "Inikah yang kamu semua mahu saksikan?"

Peranan pengurus baru, Erik Ten Hag, dalam 'menghidupkan semula' Rashford semestinya sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Ten Hag sedar bahawa Rashford tidak perlu diklasifikasikan sebagai pemain sayap mahupun penyerang secara tegas.

Sebaliknya, dia hanya perlu dilancarkan kepada pihak lawan dan diberikan kebebasan untuk beraksi sesuka hatinya -- dia tahu apa yang perlu dilakukan.

Sewaktu menentang Barcelona dalam perlawanan playoff pusingan kalah mati Liga Europa (UEL) awal pagi tadi, kedua-dua gol jaringan United dalam keputusan seri 2-2 itu adalah berterajukan Rashford sebagai paksi utama.

Ini tidak pun mengejutkan.



Sebelum gol pertama dijaringkan, larian Rashford memecahkan barisan pertahanan Barcelona dilihat begitu halus sekali, rembatannya dari sudut yang begitu ketat pula gagal ditepis oleh penjaga gol yang begitu berpengalaman seperti Marc-Andre Ter Stegen sekalipun.

Bagi gol kedua, Rashford mudah memperdayakan pemain sayap Barcelona yang dikenali dengan kelincahannya, Raphinha, lalu melepaskan hantaran silang yang begitu tajam sehinggakan pemain pertahanan, Jules Kounde, melakukan kesilapan dan menyumbat gol ke dalam gawang sendiri.

Segala keperitan musim lalu telah dilupakan, dan yang ada kini hanyalah keyakinan dan keazaman yang tidak ada tandingannya.

Jika ada walau sedikit pun ruang untuk menyerang, Rashford akan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya.

Jika United gagal menemui ruang untuk menyerang, Rashford akan menciptanya.

Tidak hairanlah kesemua kritikan pedas yang dilemparkan ke arah United musim lalu kini digantikan dengan pujian dan kata-kata positif, tidak kira daripada pihak mana pun.

Andai Rashford mampu terus bersinar seperti ini, tidak mustahil sekurang-kurangnya satu trofi bakal dijulang semula pada penghujung musim.

Perlawanan timbal balik dengan Barcelona di Old Trafford minggu depan bakal menjadi pentas seterusnya dalam episod kebangkitan semula mereka.