Skuad bola sepak Malaysia berpeluang membaiki ranking daripada tangga ke-145 dunia ke kedudukan yang lebih baik sejak 15 tahun lalu.

Harimau Malaya ketika ini mengumpulkan 1,071.99 mata selepas mara ke separuh akhir Piala AFF 2022 akhir tahun lalu.

Kejayaan anak buah Kim Pan-gon mengalahkan Turkmenistan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada Khamis lalu membolehkan skuad negara menokok 5.27 mata.

Penambahan mata berharga itu menjadikan mata keseluruhan terbaru kepada 1,077.26, sekali gus berada di ranking ke-140 dunia memotong Burundi dan St Kitts and Nevis.

Perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac depan bakal memberikan lonjakan baru buat Harimau Malaya menerusi penambahan 4.9 mata jika berjaya menewaskan pasukan itu.

Maka, mata keseluruhan yang dikumpulkan sebelum kemas kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada April depan adalah sebanyak 1082.16.Ia sekali gus melonjak ke kedudukan ke-139 dunia memintas negara dari Amerika Selatan, Suriname.

Kedudukan ke-139 dunia itu bakal menghampiri kedudukan terbaik skuad kebangaan pada 2011 selepas memenangi Piala AFF 2010 di mana Malaysia pernah menduduki tangga ke-138 sebelum mengalami kejatuhan ke tangga ke-178 pada tahun 2018.

Kredit: Sinar Harian