Ranieri galas tanggungjawab baru di Nantes

Nafis Abdullah
June 16, 2017 12:01 MYT
Selepas hampir empat bulan dipecat oleh Leicester City, bekas pengendali, Claudio Ranieri, kembali ke kancah bola sepak Eropah apabila mengikat kontrak dua tahun bersama kelab Perancis, Nantes.
Pengurus berbangsa Itali itu disingkirkan oleh pihak pengurusan Leicester selepas mengharungi kempen yang mengecewakan walaupun berjaya membawa skuad The Foxes menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2015/16.
Dia dikaitkan dengan jawatan panas bersama pasukan EPL lain seperti Crystal Palace dan Watford, namun memilih untuk menyahut cabaran dalam Ligue 1.
Ranieri menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Sergio Conceicao selepas pengurus dari Portugal pulang ke kampung halaman untuk mengendalikan Porto.
Ini merupakan kali kedua Ranieri menabur bakti di bumi Perancis selepas berjaya membawa Monaco menjuarai Ligue 2 pada tahun 2013 dan layak ke saingan Ligue 1, sebelum menamatkan musim seterusnya di tangga kedua di belakang juara, Paris Saint-Germain (PSG).
#Claudio Ranieri #Nantes
;