Aaron Ramsey berharap Arsene Wenger terus kekal di Arsenal selepas pemain tengah itu menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Chelsea dalam final Piala FA di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Ramsey membongkokkan badan untuk menanduk laju hantaran Olivier Giroud bagi memberi Wenger kejayaan Piala FA ketujuh dan memastikan Arsenal memenangi kejohanan itu buat kali ke-13.

Pemain antarabangsa Wales itu memuji keputusan Wenger yang mengubah sistem dengan menggunakan kembali tiga pertahanan, dan memenangi enam perlawanan terakhir musim ini dalam semua pertandingan untuk menamatkan kempen di tahap tinggi.

Masa depan Wenger masih di awang-awangan, dengan kontraknya tamat dan mesyuarat lembaga pengarah diadakan pada Selasa ini, tetapi Ramsey berharap persetujuan dapat dicapai untuk memastikan jurulatih berusia 67 tahun itu menandatangani perjanjian baru.

"Sudah tentu saya fikir dia akan kekal," kata Ramsey kepada BBC Sport. "Dia jurulatih hebat bagi saya dan pemain lain.

"Kami menukar formasi dan mempunyai banyak kejayaan. Ia berhasil dan berharap dia akan berada di sini musim depan. Kami banyak terhutang budi dengannya."

Ramsey juga menjaringkan gol kemenangan Arsenal ke atas Hull City dalam final Piala FA pada Mei 2014.

Dia menegaskan musim ini kelab itu kini perlu dinilai dengan betul walaupun tersingkir dalam peringkat kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh dua dekad.

"Saya tidak dapat menggambarkannya," kata Ramsey. "Ia ada turun naik tahun ini tetapi menamatkan musim ini dengan kejuaraan Piala FA, ia perlu dianggap sebagai satu kejayaan.

"Saya suka pertandingan ini dan saya suka bermain di sini. Kami layak menerimanya dan saya gembira sebagai pemain.

"Itulah permainan saya, saya suka membuat larian lewat dan Giroud tahu saya berada di sana. Dia menghantar dengan baik untuk saya menjaringkan gol kemenangan."

Danny Welbeck turut memuji semangat Arsenal selepas jaringan Ramsey muncul hanya tiga minit selepas Diego Costa menjaringkan gol penyamaan buat skuad 10 pemain Chelsea yang kehilangan Victor Moses akibat dibuang padang.

"Jelas sekali ia adalah persembahan yang hebat," kata Welbeck kepada BBC Sport.

"Kami sentiasa bimbang apabila Chelsea mendapat gol penyamaan dan ia adalah perlawanan yang penuh dengan kejutan. Tetapi kami berusaha dan Ramsey menemui gol dan kami memiliki Piala FA sekali lagi."