Skuad olahraga negara mendapat suntikan semangat untuk menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos ini, dengan pemasangan trek rekaan terbaru, trek mondo, yang dapat membantu atlet meningkatkan prestasi, selesa dan selamat.

Prestasi skuad olahraga yang semakin meningkat meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan untuk menyediakan kemudahan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Trek mondo mula digunakan secara meluas sejak Sukan Olimpik Athens pada 2004 dan ia menyaksikan 260 rekod dunia berjaya dipecahkan di atas trek tersebut.

"Ia memang terbaik untuk atlet negara dalam Sukan SEA nanti. Saya suka kerana ia selesa dan boleh mencatat masa yang baik," kata pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Mengulas perkara sama, pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli, berkata: "Ada kaki yang tidak sesuai dengan trek mondo dan ada yang sesuai. Tengok atlet juga.

"Bagi saya ia tiada masalah. Buat masa sekarang semua gembira dengan pemasangannya."

Terdapat dua lapisan pada trek tersebut di mana pada bahagian atas ia diperbuat daripada getah manakala pada bahagian bawah menggunakan bahan hexagon.

Mempunyai ketebalan 13.5mm, trek mondo mampu memberikan daya lantunan yang tinggi ketika berlari dan ia menjadi kegemaran bintang sukan olahraga dunia.

Atlet juga perlu bijak memilih kasut yang sesuai untuk berasa selesa dan mencatat masa terbaik di atas trek berkenaan.