“Adakah riak wajah saya menunjukkan rasa panik?”

Itu respons pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, sambil ketawa kecil sebaik ditanya adakah dia kini sudah menekan butang panik susulan kekalahan terbaharu 1-5 kepada Melaka United, malam tadi.

Situasi itu menggambarkan Rahmad, yang sentiasa tenang dalam kalangan media, masih belum berputus asa untuk menyelamatkan pasukannya daripada masalah prestasi dengan saingan liga hanya berbaki tiga perlawanan.

Menurutnya, situasi itu adalah pahit manis dalam bola sepak dan jurulatih kelahiran Indonesia itu juga bersedia mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan semi-finalis Piala Malaysia 2016 itu.

Mengulas lanjut kekalahan besar malam tadi, Rahmad mengakui tidak menyangka akan dibolosi lima gol dengan pemain-pemainnya menunjukkan aksi berdisiplin dalam babak pertama.

Namun, sikap segelintir pemainnya yang seolah-olah menyalahkan sesama sendiri, ujarnya, mengundang rasa kecewa, sekaligus menyaksikan mereka hilang disiplin di atas padang.

“Bahasa badan mereka menunjukkan pemain saling menuding jari dan itu yang membuatkan saya marah kerana ia jelas meruntuhkan semangat berpasukan.

“Mana-mana pemain pun akan membuat kesilapan. Sepatutnya mereka memberikan semangat antara satu sama lain.

“Saya akan memberi teguran kerana keadaan ini perlu segera diubah,” katanya.

Dua gol pertama lawan juga, ujar Rahmad, menjatuhkan moral pasukannya dan terus buntu menahan asakan Melaka.

Malah, ketiadaan Dilshod Sherofetdinov yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan diakui mengurangkan kekuatan T-Team di jentera tengah.

“Keputusan ini adalah tanggungjawab saya. Sebagai satu pasukan, kami kalah sama-sama dan akan terus berikan yang terbaik,” sambung Rahmad lagi.