Unai Emery memuji persembahan anak buahnya selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Angers walaupun beraksi dengan 10 pemain.

Kylian Mbappe menyumbat dua gol untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG), namun layangan kad merah kepada Thiago Motta selepas didapati memijak Romain Thomas membuatkan gergasi Perancis itu terpaksa mengharungi hampir keseluruhan aksi tanpa seorang pemain.

Bagaimanapun, kemenangan di Parc Des Princes itu membolehkan PSG selesa di tangga teratas dengan kelebihan 17 mata walaupun pasukan tangga kedua yang juga juara bertahan, Monaco, memiliki kelebihan satu perlawanan.

"Kami mahu menjuarai liga dan hari ini melangkah ke satu tahap untuk menghampirinya," katanya.

"Kejuaraan liga sangat penting kerana ia menunjukkan tahap konsisten di sepanjang musim. Untuk mengekalkan corak permainan, rentak perlawanan dan kemenangan di laman sendiri juga penting.

"Saya rasa seluruh pasukan memberikan reaksi yang bagus selepas kehilangan Motta. Walaupun bergelut di penghujung perlawanan, kami layak untuk menang. Saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan pemain-pemain hari ini," katanya.

Kevin Trapp kembali mengisi slot penjaga gol selepas hanya dilihat beraksi dalam saingan Piala Perancis dan Piala Liga pada musim ini, susulan kehadiran Alphonse Areola.

"Penting untuk menang kerana setiap tiga mata merupakan mata yang amat berharga," ujar Trapp.