PSG kukuhkan cengkaman liga
Penulis Jemputan
January 15, 2018 09:06 MYT
January 15, 2018 09:06 MYT
NANTES 0 PSG 1
Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan penguasaan dalam kancah Ligue 1 apabila menewaskan Nantes 1-0 di Stade de la Beaujoire, awal pagi tadi.
Turun tanpa khidmat pemain terbaik dunia, Neymar, serta pemain tengah Argentina, Javier Pastore, skuad kendalian Unai Emery itu dipaksa berhempas-pulas sebelum meraih tiga mata di hadapan kira-kira 34,000 penonton di laman lawan.
Pemain sayap, Angel di Maria, menyempurnakan peluang pada minit ke-12 untuk meletakkan PSG mendahului 1-0 selepas dia menggunakan peluang hasil kebijaksanaan Kylian Mbappe yang membuka ruang untuknya sebelum melepaskan sepakan dari jarak dekat menewaskan Ciprian Tatarusanu.
Bekas pemain Manchester United itu hampir melebarkan kedudukan buat pelawat pada minit ke-36 selepas menerima hantaran leret Edinson Cavani dari sebelah kanan, namun tampanan bola yang dilakukannya sekadar melewati palang gol tatkala Tatarusanu telah tertewas.
Diego Carlos hampir menyamakan kedudukan buat Nantes ketika babak kedua bersambung selama dua minit tetapi tandukannya hasil hantaran Leo Dubois sedikit tersasar di sebelah kiri gawang PSG.
Tandukan penyerang, Emiliano Sala, membolehkan skuad bimbingan Claudio Ranieri meraih gol penyamaan pada minit ke-59, namun jaringan itu tidak dikira selepas pemain berusia 27 tahun itu berada dalam posisi ofsaid.
Malang buat Nantes apabila Carlos diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil, Tony Chapron, selepas didakwa sengaja melakukan bentesan terhadap pengadil itu.
PSG kini selesa mendahului carta Ligue 1 dengan kutipan 53 mata, diikuti oleh Monaco dan Olympique Lyon yang terikat 42 mata di tempat kedua dan ketiga.