Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, disifatkan sebagai berjiwa besar selepas membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada kongres yang akan berlangsung pada 15 Februari tahun depan.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, keputusan Hamidin itu perlu dihormati selain hasratnya mahu melihat pengganti yang lebih baik mampu memacu persatuan sebagai satu langkah terpuji.
"Saya agak terkejut dengan pengumuman beliau yang tidak mahu mempertahankan jawatan. Tindakannya mahu memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk mempimpin FAM dan membawa bola sepak ke arah yang lebih baik.
"Bagi saya, ia satu tindakan terpuji dan beliau telah melaksanakan tugasnya dengan baik selama enam tahun setengah menjadi presiden walaupun ada pihak yang mempertikaikan kredibilitinya.
"Sekarang, beliau telah berundur dan terpulang kepada ahli gabungan untuk memilih calon yang boleh melakukan tugas lebih baik daripada Hamidin," katanya kepada Sukan Sinar.
Hamidin telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada kongres pemilihan akan datang selepas selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-13 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
Beliau telah dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 pada 2018 dan seterusnya mengekalkan jawatannya itu buat penggal kedua iaitu 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM Ke-57 pada 2021.
Menurut Jamal Nasir, pengganti Hamidin akan datang berdepan tugas berat dalam usaha memenuhi keinginan khususnya peminat bola sepak negara.
"Menjadi presiden FAM ini bukan tugas mudah seperti diperkatakan. Beliau akan berdepan tugas sukar dan tekanan yang berat.
"Seharusnya, presiden baharu itu perlu menjadi lebih baik daripada Hamidin. Kena ada visi dan misi serta idea baharu yang lebih bagus," katanya. -- Sinar Harian