'Presiden baru FAM harus ada pendirian tersendiri'
Najmi Iman
December 5, 2024 20:02 MYT
December 5, 2024 20:02 MYT
Pemerhati sukan negara, Haresh Deol, tampil memberikan pandangan mengenai individu yang bakal menggantikan kerusi tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal akan datang.
Terdahulu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden menjelang Kongres FAM awal tahun depan.
Haresh berpendapat bahawa seseorang itu perlu mempunyai visi dan misi yang jelas selain memiliki kredibiliti sebagai seorang pemimpin yang mengambil kira tekanan daripada permintaan peminat bola sepak Malaysia.
"Pada ketika ini, agak sukar untuk menyatakan siapakah individu tersebut.
"Jika dilihat, memang mudah untuk menunding jari siapa yang perlu berundur tetapi siapakah sebenarnya pengganti?
"Saya berharap pengganti tersebut mempunyai pendirian tersendiri dan visi yang diterjemahkan kepada hasil," katanya di Nadi Arena.
Dalam masa sama, bekas pemain negara, Nizaruddin Yusof, menegaskan kriteria tentang pengetahuan bola sepak yang luas perlu diambil kira bagi memenuhi tanggungjawab tersebut.
Harapannya supaya bola sepak Malaysia bergerak lebih maju ke hadapan selari dengan perkembangan pasukan kebangsaan Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia dan Vietnam.
"Saya rasa orang yang ingin masuk atau dicalonkan mahupun menawarkan diri untuk menjadi presiden FAM harus mempunyai idea baru dan sedikit usia muda.
"Sebab bola sepak sekarang lebih pantas dan negara lain juga membina pasukan yang stabil.
"Berilah kepada orang yang mengetahui hal bola sepak selain jujur dan arif dan membantu pembangunan negara," katanya.