Poulsen tebus kesilapan, julang Denmark

Penulis Jemputan
June 16, 2018 02:32 MYT
PERU 0 DENMARK 1
Yussuf Poulsen muncul wira buat Denmark apabila jaringan tunggalnya membolehkan pasukannya menewaskan Peru dalam aksi Kumpulan C, Piala Dunia 2018 di Mordovia Arena, awal pagi tadi.
Selepas gagal tampil dalam aksi Piala Dunia sebelum ini di Brazil, Denmark yang dibimbing Age Hareide turun dengan misi mengutip tiga mata bagi mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, kubu Denmark yang dikawal oleh Kasper Schmeichel diuji pada minit ke-12 oleh Andre Carrillo menerusi rembatan deras kaki kiri, namun percubaannya ditepis keluar oleh penjaga gol Leicester City itu.
Denmark memperoleh peluang menerusi sepakan percuma yang dilakukan oleh Christian Eriksen pada minit ke-38 tetapi tendangannya terkena benteng lawan.
Peru meraih peluang keemasan untuk memecah kebuntuan apabila Poulsen menjatuhkan Christian Cueva di dalam kotak penalti pada minit terakhir babak pertama, membuatkan pengadil perlawanan, Bakary Gassama, terus menuding ke titik penalti.
Namun, kesempatan itu gagal disempurnakan Cueva apabila tendangannya melewati palang gol tatkala Schmeichel sudah tertewas.
Bersambung separuh masa kedua, Poulsen tidak menunggu lama untuk menebus kesilapannya.
Penyerang RB Leipzig berusia 24 tahun itu bijak melakukan larian deras untuk menyambut bola lorongan Eriksen, sebelum tenang menolak bola masuk melepasi jangkauan Pedro Gallese.
Terdesak untuk mencari gol penyamaan, Peru membawa masuk Raul Ruidiaz dan Pedro Aquino tetapi percaturan itu tetap gagal memecahkan benteng Denmark yang diketuai oleh Simon Kjaer.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus meletakkan Denmark kini di tangga kedua Kumpulan C, berkongsi mata dengan Perancis yang menewaskan Australia, petang semalam, namun dibezakan dengan kutipan jaringan.
#Yussuf Poulsen #Denmark #Peru #Piala Dunia 2018 #Kumpulan C
;