Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, menyatakan kekaguman tinggi terhadap Mikel Arteta tetapi gagal melihat banyak persamaan di antara mereka.

Pasukan muda Spurs kendalian Postecoglou itu bakal menghadapi ujian terbesar malam esok apabila membuat kunjungan singkat ke Emirates untuk 'derby' utara London berkenaan pertama musim ini.

Tottenham yang sedang menguasai tangga kedua akan ke kubu Arsenal dengan motivasi yang tinggi dan berhitung dengan Arsenal yang memasuki musim kelima di bawah asuhan Arteta yang mengambil alih kelab itu dalam prestasi suram sebelum mengubah senario kelab berkenaan.

Tatkala Postecoglou berada dalam fasa awal pembinaan semula di Spurs, dia menepis cadangan bahawa persamaannya dengan rakan sejawatnya yang berusia 41 tahun itu.

Dia berkata: “Saya fikir Mikel telah bertindak cemerlang, benar-benar hebat sejak awal dengan mempunyai visi sebenar untuk kelab bola sepak dan kelab menyokongnya tetapi saya tidak fikir itu unik.

“Saya rasa Liverpool melakukan hal yang serupa terhadap Jurgen Klopp. Kebanyakan kelab yang menikmati tempoh berjaya kerana di belakangnya ada idea yang sangat jelas tentang apa yang mereka cuba cipta.

“Satu-satu masalahnya ialah kebanyakan kelab membuat keputusan drastik apabila prestasi awal tidak berkembang pada kadar yang diharapkan.

"Oleh itu, satu penghargaan buat Arsenal dan pujian kepada Mikel kerana mereka menyokong satu sama lain dan mereka meraih hasil daripadanya tetapi itu bukan pelan tindakan untuk kami ikuti.




"Kami mempunyai pelan tindakan tersendiri. Anda tidak perlu mengikuti skala masa orang lain, anda tidak perlu mengikuti proses orang lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah mempunyai idea yang jelas tentang perkara yang anda inginkan dan sediakan sepanjang anda melihat kemajuan, kemudian berpegang teguh kepadanya.

“Daripada segi persamaan, saya berumur 58 tahun dan Arteta 41 tahun. Saya sudah 26 tahun, dia baru lima tahun sebagai pengurus. Dia baru berjaya di satu negara, saya telah berjaya di beberapa negara. Saya tidak pasti bagaimana dia mempunyai rambut yang hebat!

“Dia jauh lebih cergas daripada saya. Saya tidak tahu, tidak banyak persamaan di antara kami. Saya juga tidak akan mengatakan yang sebaliknya.

“Kami berbeza termasuk membabitkan corak permainan pasukannya. Ya, dia memang mempunyai falsafah menyerang tetapi ia berbeza dengan saya dan itulah keindahan permainan. Itulah yang anda suka tentangnya.

"Sebab itu anda tidak dapat meniru. Jika anda seorang artis dan anda melihat Picasso, ya anda boleh menyalinnya tetapi ia tidak akan menjadi karya Picasso bukan? Begitu juga dengan bola sepak.

"Anda boleh melihat bahawa seseorang melakukan sesuatu dengan sangat baik tetapi jangan kaitkannya dengan keperibadian. Saya sangat mengagumi caranya melakukan sesuatu dan bagaimana dia berpegang teguh kepada kepercayaannya. Ia merupakan satu pujian terhadapnya.”