PORTUGAL 3 ALGERIA 0

Portugal akhirnya mencatat kemenangan setelah menundukkan Algeria 3-0 dalam pertemuan persahabatan di Lisbon, awal pagi tadi, selepas gagal melakukannya dalam dua aksi pemanas badan, sebelum ini.


Portugal diikat seri 2-2 ketika menentang Tunisia ada 29 Mei lalu sebelum sekali lagi disekat untuk mencipta kemenangan apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan sewaktu berdepan Belgium, lima hari kemudian.

Bagaimanapun, aksi di Estadio Da Luz hanya memerlukan 17 minit untuk skuad kendalian Fernando Santos itu membuka tirai jaringan.

Bola hantaran jauh Willian Carvalho bijak disambut dengan tandukan pendek pemain sayap Manchester City, Bernardo Silva, sebelum disudahkan dengan rembatan deras kaki kanan oleh bintang muda, Goncalo Guedes.

Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, yang tampil buat kali pertama buat Portugal sejak menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut bersama Real Madrid bulan lalu memainkan peranan besar untuk gol kedua pasukannya.

Bekas pemain sayap Manchester United itu membawa bola dari sebelah kiri sebelum melakukan hantaran lintang untuk ditanduk masuk oleh pemain tengah Sporting Lisbon, Bruno Fernandes, ketika babak pertama berbaki lapan minit.

Memiliki kelebihan dua gol, Portugal yang akan memulakan saingan Piala Dunia 2018 bertemu Sepanyol pada 16 Jun ini, jelas masih belum berpuas hati.

Guedes sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Algeria, kali ini menerusi tandukan setelah menerima bola hantaran benteng Borussia Dortmund, Raphael Guerreiro, pada minit ke-55.

Juara Kejohanan Eropah 2016 itu melakukan enam pertukaran selepas jaringan tersebut tetapi kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan anak-anak buah Santos membawa semangat tinggi menjelang aksi di Stadium Fisht Olympic.