Pochettino tidak pernah ragu kemampuan Messi tamatkan kemarau gol

Muzaffar Musa
November 21, 2021 04:27 MYT
PSG 3 NANTES 1
Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, mendedahkan bahawa dia tidak pernah meragui Lionel Messi akan menamatkan kemarau jaringannya dalam Ligue 1 selepas penyerang itu mendaftarkan gol pertamanya dalam perlawanan menentang Nantes awal pagi tadi.
Messi melakukan lima penampilan liga buat kelab ibu kota Perancis itu tetapi tidak pernah berhasil menjaringkan gol sebelum menamatkan kemarau itu ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1 ke atas Nantes di Parc des Princes.
Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu, bagaimanapun, amat produktif dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di mana dia telah menjaringkan tiga gol daripada tiga perlawanan setakat ini.
Pochettino menjelaskan bahawa dia dan Messi tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa pemain itu akan turut memulakan kecemerlangannya dalam saingan domestik selain memuji pasukannya secara keseluruhan.
"Saya tidak fikir Messi gusar tidak dapat menjaringkan gol dalam kejohanan ini, dia sorang juara yang hebat, pemain terbaik dunia," kata Pochettino selepas perlawanan itu.
"Dia tahu bagaimana cara untuk melalui waktu sukar, dia mempunyai kesabaran dan amat baik apabila dia menjaringkan gol.
"Dia mempamerkan perwatakan kami, termasuk kualiti kami sebagai satu pasukan -- kami bermain dengan amat bagus dalam separuh masa pertama.
"Perkembangan tentang MNM (Messi, Nermar, Kylian Mbappe)? Saya sentiasa katakan ia tentang membina keserasian, menghabiskan masa bersama dan juga bermain dalam perlawanan kompetitif.
"Tetapi seluruh pasukan ini bermain baik, ia secara menyeluruh, untuk membenarkan pemain-pemain berbakat ini kerap meletakkan diri di posisi terbaik untuk mencipta peluang.
"Malangnya kami tidak menjaringkan lebih banyak gol dalam babak pertama," katanya.

Before and after ?#PSGFCN pic.twitter.com/h0fHEPkv83

— Paris Saint-Germain (@PSG_English) November 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Messi turut meluahkan kegembiraannya atas jaringan itu selepas melakukannya dari luar kawasan penalti sebaik menerima hantaran Mbappe.
"Saya gembira dengan jaringan ini, saya benar-benar mahukannya," kata Messi kepada Amazon Prime.
"Saya mempunyai banyak peluang sebelum ini, dalam perlawanan ini dan perlawanan sebelumnya.
"Saya amat gembira dengan jaringan pertama dalam kejohanan ini, saya sudah melakukannya dalam UCL.
"Ada peluang sebelum ini tetapi saya tidak dapat memanfaatkannya,jadi saya amat gembira," katanya.
#bola sepak #PSG #Lionel Messi #Nantes #Ligue 1 #MauricioPochettino