AC MILAN 1 SAMPDORIA 0

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, menyamakan Rafael Leao dengan Thierry Henry selepas penyerang itu meledakkan gol tunggal ketika pasukannya menang tipis ke atas Sampdoria dalam aksi Serie A malam tadi.

Pemain kebangsaan Portugal tu menemui sasaran seawal minit kelapan di San Siro untuk meletakkan Milan di puncak Serie A.

Leao mengawal baik bola daripada hantaran Mike Maignan -- penjaga gol Milan pertama mendaftarkan bantuan jaringan selepas Dida melakukan perkara sama pada 2006 -- sebelum tenang menewaskan Bartosz Bereszynski.

Dia kini telah mengumpulkan 10 gol dalam kesemua kejohanan musim ini untuk menjadi penjaring gol terbanyak Rossoneri bersama Olivier Giroud.

Ia lebih tiga gol berbanding yang dilakukannya dalam 39 penampilan musim lalu dan lebih empat gol berbanding musim pertamanya di San Siro (2019-20).

Daripada 10 gol itu, tujuh daripadanya dihasilkan dalam saingan Serie A dan empat daripadanya merupakan jaringan pembukaan.

Pioli gembira dengan perkembangan Leao dan yakin penyerang berusia 22 tahun itu masih mampu untuk berkembang dengan lebih pesat.

"Saya yakin dia sentiasa boleh melakukan yang lebih baik, dia tidak boleh berpuas hati," kata Pioli dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Dia mempunyai kualiti untuk menjadi pemain terbaik Eropah dan dunia.

"Dia mengingatkan saya kepada Henry tetapi Rafa perlu sentiasa menjadi dirinya.

"Leao seorang pemain yang luar biasa tetapi dia tidak boleh termakan dengan pujian buatnya,"katanya.