Moises Caicedo secara terbuka mendesak untuk berpindah ke Arsenal pada bulan lalu kerana ia adalah impian sepanjang hayatnya dan kini timbul perasaan bahawa peluang itu mungkin tidak akan berulang lagi.

Brighton & Hove Albion menolak dua bidaan daripada kelab London itu yang dilaporkan berjumlah £60 juta (RM307.9j) dan £70j (RM359.3j) dalam usaha memancing pemain tengah tersebit di penghujung jendela perpindahan Selasa lalu.

Arsenal berminat untuk membawa masuk pemain berusia 21 tahun itu ke dalam barisan Mikel Arteta berkenaan dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi memandang Brighton tidak berganjak dengan pendirian asal -– walaupun Caicedo merayu melalui sepucuk surat --– The Gunners sebaliknya menandatangani Jorginho daripada Chelsea.



Walaupun Jorginho hanya menandatangani perjanjian selama 18 bulan di Stadium Emirates dan laporan mencadangkan Arsenal mengekalkan minat mereka terhadap Caicedo, tetapi ejennya, Manuel Sierra, bimbang sekiranya peluang seumpama itu mungkin tidak muncul lagi.

Dia memberitahu Marca90: "Tawarannya telah diterima, ia satu tawaran lumayan dan Moises berkata dia ingin beralih angin, malah ia adalah impian sepanjang hidupnya tetapi peluang seperti ini mungkin tidak akan berulang lagi dalam kehidupannya.

“Kami kemudian membantu merangka satu kenyataan di media sosial.




“Dalam kenyataan itu, dia menyatakan hasrat dan rasa terima kasihnya kepada kelab kerana mereka memberinya peluang untuk memenuhi impiannya bermain dalam EPL.

"Kami tidak tahu apa yang akan berlaku esok, mungkin dia berlatih kemudian tercedera. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku."

Caicedo tidak berlatih bersama Brighton hujung minggu lalu dan terlepas kemenangan 2-1 Piala FA ke atas Liverpool.

Sierra, yang turut mengesahkan Caicedo meminta kebenaran Brighton sebelum menerbitkan kenyataan itu, menambah: "Brighton memahami situasi berkenaan dan mereka sangat menyayanginya. Jadi kami mencapai persetujuan."

Caicedo sudah kembali menjalani latihan dan bersedia untuk memperkuatkan Brighton yang akan menentang Bournemouth, malam esok.