Piala Super UEFA: Ancelotti tidak jamin beri Mbappe penampilan pertama

Muzaffar Musa
August 14, 2024 10:47 MYT
Carlo Ancelotti kekal berahsia apabila ditanya mengenai peluang Kylian Mbappe untuk membuat penampilan sulung bersama Real Madrid dalam aksi Piala Super UEFA awal pagi esok.
Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Borussia Dortmund 2-1 pada Jun lalu untuk bertemu pemenang Liga Europa, Atalanta, di Warsaw.
Ancelotti, sewaktu pramusim sebelum ini, berkata bahawa dia merancang untuk menggunakan pemain yang membantu mereka memenangi trofi musim lalu bagi perlawanan Piala Super berkenaan.
Mbappe menyertai Madrid secara ejen bebas pada Jun lalu dan kini telah memulakan latihan bersama pasukan itu selepas penglibatannya bersama Perancis dalam Euro 2024.
Dan walaupun Ancelotti tetap membisu tentang bagaimana Mbappe boleh digunakan itu, dia juga tidak menafikan bakal memberikan penampilan pertama buat pemain Perancis itu bersama jersi Madrid.
"Mbappe telah tiba dengan baik, sama seperti pemain lain yang menyertai kami minggu lalu," kata Ancelotti dalam sidang media.
"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih tetapi kami bermain dengan sangat baik dan Kylian juga telah tiba dalam keadaan yang baik. Dia menyesuaikan diri dengan sangat baik. Jelas sekali, semua orang yang berada di sini boleh bermain esok," katanya.
#bola sepak #Real Madrid #Carlo Ancelotti #Kylian Mbappe #Piala Super UEFA
;