MALAYSIA 4 KEMBOJA 2

Skuad B-22 negara memulakan kempen Piala Merlion dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 4-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad negara akan menantikan pemenang di antara Singapura dan Hong Kong bagi penentuan gelaran hujung minggu ini.

Pasukan bimbingan E. Elavaran itu bermula baik dan berhasil membuka jaringan menerusi penyerang sensasi negara, Haqimi Azim Rosli, yang menyudahkan lintangan Aiman Afif Afizul, pada minit ke-13.

V. Ruventhiran kemudian menceriakan kem apabila menolak masuk bola di depan gawang lawan untuk memastikan jaringan kedua Malaysia pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Kemboja berhasil merapatkan jurang menerusi Lim Pisoth menjelang waktu rehat separuh masa.

Jaringan itu jelas memberikan semangat baru buat Kemboja dan mereka berhasil menyamakan kedudukan selepas lima minit perlawanan bersambung apabila ketua pasukan, Sieng Chanthea, meledakkan jaringan jarak jauh pada minit ke-50.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan negara kembali memperkemaskan aksi dan pemain gantian, Fergus Tierney, kembali meletakkan Harimau Muda di depan dengan meyudahkan umpanan ketua pasukan, Azam Azmi Murad.

Najmudin Akmal Kamal Akmal kemudian menyumbat masuk satu lagi gol pada minit ke-72 untuk mengesahkan kemenangan Malaysia.