Ketua jurulatih skuad B-22 negara, E. Elavarasan, terpaksa akur kehilangan tonggak tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menjelang saingan Piala Merlion di Singapura bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun, ketiadaan pemain itu dalam saingan empat penjuru berkenaan -- melibatkan skuad negara, Singapura, Kemboja dan Hong Kong -- tidak bermakna dia akan terlepas saingan Sukan SEA Kemboja, Mei depan.

Bagi Elavarasan, peluang buat pemain tengah itu masih terbuka dan dia mahu memastikan Mukhairi Ajmal benar-benar cergas untuk dibawa ke Phnom Penh.

Ini kerana misi untuk memastikan skuad negara layak ke final temasya itu perlu dijadikan keutamaan.

"Akmal mengalami jangkitan kuman di perutnya dan pihak perubatan mengesahkan dia tidak dapat menjalani aktiviti berat untuk pulih," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom"

"Secara perubatannya, saya tidak tahu kerana ia adalah makluman daripada pihak doktor tetapi selagi ada dokumen perubatan, kami menerimanya," katanya.