Piala Malaysia: Kekal format libatkan 16 pasukan
Muzaffar Musa
November 8, 2024 12:45 MYT
November 8, 2024 12:45 MYT
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa format bagi saingan Piala Malaysia 2024-25 kekal dengan penglibatan 16 kelab yang akan membawa cabaran bermula dengan aksi pusingan 16.
Aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik sama seperti edisi sebelum ini.
Sedikit pembaharuan dilakukan musim ini ialah sebanyak tiga kelab daripada Liga A1 Semi Pro akan menyertai kejohanan tertua di rantau Asia itu berbanding dua dalam musim lalu.
Tiga kelab berkenaan merupakan pasukan yang menduduki tangga tiga teratas saingan pusingan pertama Liga A1 Semi Pro 2024-25 iaitu Melaka, PT Athletic dan Kuala Lumpur Rovers, yang bakal berentap bersama- 13 kelab Liga Super yang lain
.
Proses undian musim ini menyaksikan kelab yang berada di tangga pertama hingga kelapan selepas pusingan pertama Liga Super layak secara automatik ke pusingan 16 selaku pasukan 'pilihan'.
Baki lima kelab lain, yang berada di kedudukan kesembilan hingga 13 selepas pusingan pertama Liga Super, akan diundi bersama-sama tiga kelab teratas Liga A1 Semi-Pro untuk menentukan lawan masing-masing bertemu pasukan ‘pilihan’ dan undian akan dijalankan secara terbuka.
Mengikut perancangan awal, perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia dijangka bermula pada 20 November (tertakluk kepada perubahan).
Bagi pasukan yang tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, secara automatik akan bertanding di pentas MFL Challenge Cup 2024-25.
Undian Unifi Piala Malaysia akan berlangsung pada Isnin ini.