Marcus Rashford sukar dihalang apabila Manchester United menampilkan keupayaan sebenarnya di bawah asuhan Erik ten Hag, dan bekas kapten, Roy Keane, tidak terkejut melihat mutu persembahan ketika menentang Everton, awal pagi tadi.

Rashford menjadi wira dalam kemenangan 3-1 yang membawa United mara ke pusingan keempat Piala FA.

Penyerang England tersebut mencipta gol pembukaan buat Antony dalam pertembungan di Old Trafford itu, kemudian memperagakan kemahiran hebat untuk memaksa Conor Coady menampan bola ke gawang sendiri bagi membatalkan gol penyamaan pertahanan Everton itu.

Rashford kemudian mencetak nama selaku penjaring ketika menyempurnakan sepakan penalti untuk ketiga The Red Devils dalam masa kecederaan sekali gus pengurus, Ten Hag, merumuskannya sebagai sebuah perlawanan yang penuh dengan 90 minit ancaman.

Keane dalam peranannya sebagai pengulas ITV berkata: "Keindahan menonton Marcus malam ini adalah apa yang saya harapkan daripadanya. Saya tidak terkejut dengan apa yang saya saksikan.





"Dia disandarkan harapan untuk menjadi salah seorang pemain utama buat United; bolehkah dia membawa mereka kembali memenangi trofi? Dia perlu menggalas tanggungjawab itu.

"Malam ini, dengan dua bantuan gol dan satu jaringan, saya fikir saya sudah menjangkakannya daripada Marcus pada setiap minggu. Dia jelas beraksi dengan penuh keyakinan."

Keyakinan sudah pasti penting bagi seseorang pemain yang telah merobek gawang lawan dalam rentetan lima perlawanan selain yang ketujuh berturut-turut di Old Trafford, tetapi Ten Hag turut menekankan kepentingan rakan sepasukannya.

"Ia mengenai membawanya ke kedudukan yang betul," katanya dalam sidang akhbar.






“Dia berhasil melakukannya tetapi pastinya disebabkan kami mencipta peluang sebagai sebuah pasukan, jadi dia dapat menonjolkan keupayaannya.

“Bukan sahaja Marcus bermain dengan sangat baik malah malam inipasukan juga bermain dengan sangat baik apabila berada dalam prestasi yang tepat.

"Jadi, dia boleh memperagakan kekuatannya dan saya rasa dia tidak boleh dihalang, melalui kepantasannya, gelecekkannya dan asakannya."

Seperti Keane, Ten Hag turut yakin Rashford mampu mengekalkan standard yang tinggi untuk bergerak ke hadapan dalam usaha United mengekalkan kedudukan empat teratas musim ini.

"Sudah tentu, sebagai penyerang, anda diukur melalui gol dan bantuan jaringan," tambahnya.

“Hari ini dia menghasilkan dua bantuan gol dan satu gol, jadi ia bagus.

“Dia mempunyai kemahiran yang hebat dan apabila dia mempunyai kestabilan mental, dia mampu meneruskan rentaknya.

"Itu memerlukan pengorbanan besar daripadanya, yang pertama daripadanya sendiri kemudian kami sebagai sebuah pasukan, organisasi, perlu mewujudkan persekitaran serta budaya yang tepat.

"Apabila pemain terus fokus sebegini, saya pasti dia boleh meneruskan proses ini."