Piala FA: Paulo Josue lupakan risiko kecederaan demi KL City

Muzaffar Musa
June 15, 2024 19:22 MYT
Slogan 'sampai mati Kuala Lumpur' bukan sekadar slogan, bahkan ia dijadikan azimat buat segenap pemain skuad Warga Kota itu, terutama ketua pasukan, Paulo Josue.
Tonggak Harimau Malaya berkenaan terpaksa melupakan risiko kecederaan untuk membantu KL City ketika menentang Kuching City dalam pusingan pertama Piala FA di Cheras semalam.
Ini selepas dia baru sahaja memperkuatkan skuad kebangsaan dalam dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, dia terpaksa akur pasukannya tersingkir sebaik tewas 2-3 selepas bertarung selama 120 minit.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Ini adalah keputusan jurulatih, dia yang mengawal pasukan ini. Jika dia mahu menukar pemain, dia akan melakukannya.
"Amat jelas saya agak keletihan tetapi ia terpulang kepadanya kerana saya rasa pemain lain juga berasa letih dan kekejangan.
"Jika dia mahu saya bermain, saya sentiasa bersedia. Saya tidak rasa sebarang kekejangan atau sebarang isu fizikal.
"Sudah pasti saya tidak dapat berlari terlalu banyak tetapi ia agak normal.
"Saya hanya berharap pemain lain dapat bersedia dan apabila jurulatih menurunkan mereka, mereka dapat menyerlah," katanya.
#bola sepak #Piala FA #Kuching City FC #Kuala Lumpur City FC #Paulo Josue
;