Piala EFL: Saya tidak boleh minta lebih -- Van Nistelrooy tabik pemain Manchester United

Muzaffar Musa
October 31, 2024 12:58 MYT
Ruud van Nistelrooy berkata dia tidak boleh meminta lebih daripada pemain Manchester United selepas menandakan perlawanan pertamanya sebagai pengurus The Red Devis dengan kemenangan 5-3 ke atas Leicester City dalam pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.
Casemiro dan Bruno Fernandes, masing-masing menjaringkan dua gol, sambil Alejandro Garnacho juga menemui sasaran di Old Trafford, pada ketika United mengesahkan tempat ke suku akhir untuk bertemu Tottenham.
Van Nistelrooy mengambil alih tugas itu dalam perlawanan pertama sejak ketiadaan Erik ten Hag, di mana ketua jurulatih Sporting CP, Ruben Amorim, dijangka akan dilantik mengisi kerusi panas berkenaan dalam masa terdekat.
"Pujian buat pemain, mereka amat luar biasa hari ini. saya tidak boleh meminta lebih.
"Menentang West Ham dan Fenerbahce. kami mencipta terlalu banyak peluang dan tidak dapat menyudahkannya.
"Secara tiba-tiba, tuah kini memihak kami dan ia menjadi malam yang hebat.
"Sasarannya sentiasa untuk memberikan reaksi dan menyerang. Reaksi pemain selepas Leicester menjaringkan gol amat cemerlang dan mereka layak menerima pujian.
"Saya lega penyokong dapat pulang ke rumah dengan gembira," katanya.
#bola sepak #Manchester United #Leicester City #Ruud van Nistelrooy #Piala Liga Inggeris
;