NEWCASTLE UNITED 2 SOUTHAMPTON 1
(Newcastle ke final dengan agregat 3-1)

Sean Longstaff menjaringkan gol berganda bagi membawa Newcastle United ke final Piala Liga Inggeris (EFL) dengan kelebihan agregat 3-1 ke atas Southampton awal pagi tadi.

Pemain daripada akademi Magpies itu menjadi wira di St James' Park, di mana dia menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan 2-1 pasukannya dalam aksi separuh akhir kedua berkenaan, sekali gus layak ke final kejohanan utama buat kali pertama sejak 1999.

Dua gol daripada pemain tengah itu dalam babak pertama -- juga jaringan pertamanya di laman sendiri dalam tempoh hampir empat tahun -- membawa pasukan bimbingan Eddie Howe itu ke Wembley walaupun mereka menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Bruno Guimaraes dilayangkan kad merah.

Che Adams kemudian menjaringkan gol sagu hati buat Southampton tetapi mereka gagal untuk melakukan penampilan final ketiga dalam kejohanan itu.

Kejayaan itu menyaksikan Newcastle kembali ke final Piala EFL selepas 47 tahun dan berharap dapat menamatkan penantian trofi utama selepas kali terakhir memenangi Inter-Cities Fairs Cup pada 1969.

Mereka akan meneruskan saingan EPL dengan melayani kunjungan West Ham hujung minggu ini.