Piala EFL: Hatrik Nketiah bawa Arsenal ke separuh akhir
Muzaffar Musa
December 22, 2021 08:33 MYT
December 22, 2021 08:33 MYT
Eddie Nketiah memainkan watak wira apabila jaringan hatriknya membawa Arsenal ke separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Sunderland 5-1 di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Penyerang muda itu meneruskan rekod gemilangnya dalam kejohanan itu, di mana tiga jaringan terbaru berkenaan menyaksikan dia kini telah mendaftarkan 10 gol daripada sembilan penampilan.
Nicolas Pepe turut menemui sasaran pada minit ke-27 buat pasukan bimbingan Mikel Arteta itu, yang memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak musim 2017-18, sebelum Charlie Patino melengkapkan keraian pesta gol itu dengan jaringan lewat permainan.
The Gunners, bagaimanapun, dibolosi buat kali pertama dalam kempen Piala EFL musim ini gara-gara sentuhan Nathan Broadhead tetapi mereka jelas terlalu kuat untuk ditandingi lawan dari Liga Satu itu.
Dengan kedua-dua pasukan dibezakan 43 anak tangga dalam piramid bola sepak Inggeris, Arsenal hampir memecah kebuntuan pada minit ke-12 apabila percubaan Nuno Tavares menggegarkan palang gol selepas terbias ke badan Elliot Embleton.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah itu berhasil memperoleh jaringan pembukaan lima minit berselang. Nketiah memanfaatkan sepenuhnya bola muntah susulan kegagalan penjaga gol, Lee Burge, mengeluarkan bola daripada tandukan Rob Holding.
The Gunners kemudian menggandakan kelebihan mereka, di mana Pepe melakukan gerakan satu-dua dengan Cedric sebelum melepaskan rembatan yang sempat terbias ke arah Callum Doyle.
Sunderland memberikan respons terbaik mereka untuk merapatkan jurang hasil serangan balas pantas yang disudahkan Broadhead.
Namun, Arsenal kembali melebarkan kelebihan mereka kepada dua gol selepas empat minit perlawanan bersambung, di mana Nketiah melepaskan rembatan kencang ke 'near post' hasil lintangan Tavares.
Sembilan minit kemudian, Nketiah melengkapkan hatriknya dengan penuh bergaya susulan menerima kuisan tumit Pepe dan menolaknya melepasi kawalan Burge.
Pemain remaja, Patino, melengkapkan pesta jaringan Arsenal apabila menandakan penampilan pertamanya dalam skuad senior dengan menyudahkan hantaran Pepe dalam waktu kecederaan.