Piala EFL: Eddie Howe tamatkan badi bertemu Guardiola ketika Newcastle singkir Manchester City

Muzaffar Musa
September 28, 2023 11:02 MYT
NEWCASTLE UNITED 1 MANCHESTER CITY 0
Eddie Howe gembira apabila akhirnya dapat menewaskan Pep Guardiola ketika Newcastle Uited menyingkirkan Manchester City untuk layak ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.
Finalis musim lalu itu meraih kemenangan 1-0 di St. James' Park hasil jaringan tunggal Alexander Isak dalam babak kedua dan diundi untuk bertemu seteru setempat City, Manchester United, bagi aksi pusingan 16 di Old Trafford.
Ia merupakan kemenangan pertama Howe selaku pengurus dalam 14 pertemuannya dengan Guardiola tetapi itu bukanlah perkara yang paling menggembirakannya.
Howe berkata: "Benar rekod saya bertemunya (Guardiola) tidak begitu baik, jadi amat bagus untuk menang perlawanan ini tetapi ia bukan tentang itu.
"Ia tentang mencuba untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan ini dan saya gembira dengan pemain saya, gembira dengan usaha yang telah dilakukan mereka.
"Ia perlawanan yang amat sukar buat kami dalam babak pertama. Saya rasa pemain saya telah bermain dengan amat baik. Saya rasa kami juga bertahan dengan amat baik -- kami perlu melakukannya kerana kami bergelut untuk mendapatkan rentak.
"Tetapi dalam babak kedua, kami mempamerkan prestasi yang amat berbeza. Keseimbangan dalam pasukan ini jauh lebih baik dan saya amat gembira dengan komitmen semua pemain dalam perlawanan ini," katanya.
#bola sepak #Manchester City #Pep Guardiola #Newcastle United #Eddie Howe #Piala EFL
;