Piala EFL: Arsenal lepasi ujian Crystal Palace
Shaiful Shamsudin
December 20, 2024 09:51 MYT
December 20, 2024 09:51 MYT
ARSENAL 3 PALACE 2
Mikel Arteta telah meredakan sebarang kebimbangan kecederaan terhadap Kieran Tierney selepas pemain antarabangsa Scotland itu dikeluarkan dalam kemenangan 3-2 The Gunners ke atas Crystal Palace dalam Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.
Kemenangan itu membawa Arsenal bertemu Newcastle United dalam separuh akhir tatkala Arteta berusaha untuk memenangi trofi pertamanya sejak merangkul Piala FA dalam musim sulungnya pada 2019-20.
Tierney membuat penampilan pertamanya dalam kempen ini apabila diletakkan dalam barisan utama untuk menghadapi The Eagles di Stadium Emirates.
Dia bergelut dengan masalah hamstring tetapi dinamakan di bangku simpanan dalam enam perlawanan terakhir membabitkan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL).
Tierney telah bergelut dengan kecederaan sejak tiba di Arsenal malah tidak menamatkan perlawanan ketika menentang Palace.
bertemu Newcastle United
Ditanya mengapa Tierney digantikan, pengurus Arsenal hanya menjawab ia kekejangan bagi meredakan kebimbangan mengenai kecergasan anak buahnya itu.
Bek kiri itu digunakan sebagai pemain sayap dan Arteta meneruskan: "Dia bermain berdasarkan kekuatannya, itu sesuatu yang perlu kami terus belajar kerana ia menawarkan anda banyak maklumat, kadang-kadang pemain memberitahu anda bukan dengan kata-kata tetapi melalui permainan, di mana mereka berasa lebih selesa dan pastinya ada yang lebih sesuai untuknya."