Piala Dunia Wanita: Jerman tersingkir selepas diikat Korea Selatan, Maghribi iringi Colombia

Muzaffar Musa
August 4, 2023 01:03 MYT
Finalis edisi 2022, Jerman, tersingkir awal dalam Piala Dunia Wanita apabila terikat 1-1 dengan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Suncorp malam tadi.
Pendatang baru, Maghribi, pula mencipta kejutan layak ke pusingan kalah mati selepas jaringan Anissa Lahmari dalam babak pertama memberikan mereka kemenangan 1-0 ke atas Colombia, yang turut meneruskan kemaraan.
Juara dunia dua kali, Jerman, tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah.
Mereka ketinggalan seawal minit kelima gara-gara membenarkan jaringan pembukaan Cho Su-hyun tetapi jaringan penyamaan Alexandra Popp memberikan bayangan bahawa Jerman akan bangkit memenangi perlawanan itu.
Bagaimanapun, jaringan kemenangan Popp dalam babak kedua dibatalkan dan ia merupakan satu-satunya peluang terbaik dihasilkan Jerman, di mana Korea Selatan terus mengecewakan mereka sehingga wisel penamat -- selepas 17 minit masa kecederaan.
Dalam pada itu, jaringan lewat permainan Lahmari membawa Maghribi ke pusingan 16 dalam penampilan pertama mereka.
Selepas dibelasah 0-6 oleh Jerman dalam aksi pembukaan kumpulan itu, Maghribi, yang menewaskan Korea Selatan 1-0 sebelum ini, meraih gol kemenangan ke atas Colombia apabila sepakan penalti Ghizlane Chebbak yang di selamatkan penjaga gol dapat dihidu Lahmari untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan berkenaan.
Di sebalik kekalahan itu, Colombia tetap layak ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan H hasil kemenangan 2-1 ke atas Jerman dan 2-0 ke atas Korea Selatan dalam aksi terdahulu.

The moment dreams became reality. ?@EnMaroc | #FIFAWWC

— FIFA Women's World Cup (@FIFAWWC) August 3, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Colombia #bola sepak wanita #Korea Selatan #Jerman #Maghribi #Piala Dunia Wanita