Piala Dunia Qatar: Perancis mara bergaya ke suku akhir

Muzaffar Musa
December 4, 2022 01:10 MYT
PERANCIS 3 POLAND 1
Perancis meneruskan misi mempertahan kejuaraan selepas meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas Poland dalam aksi pusingan 16 Piala Dunia Qatar di Stadium Althumama sebentar tadi.
Kemenangan pasukan juara bertahan itu turut diserikan dengan kejayaan Olivier Giroud memecahkan rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman Les Bleus selepas penyerang itu mumbuka jaringan menerusi rembatan menariknya pada minit ke-44.
Giroud sebelum ini menyamai rekod 51 gol milik penyerang legenda, Thiery Henry, ketika pasukan kebangsaannya membelasah Australia 4-1 dalam perlawanan pembukaan tetapi jaringan terbarunya kali ini menyaksikan bintang AC Milan berkenaan memahat sejarah dengan mendaftarkan golnya yang ke-52 buat Perancis.
Pada usia 36 tahun dan 53 hari, Giroud turut menjadi pemain kedua tertua menjaringkan dua gol dalam satu kempen Piala Dunia selepas Roger Milla melakukan perkara sama buat Cameroon ketika berusia 38 tahun pada 1990.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, turut mencuri tumpuan dalam perlawanan kali ini, di mana pemain berusia 23 tahun itu meledakkan gol berganda, masing-masing pada minit ke-74 dan 91, bagi memastikan kemaraan pasukannya ke suku akhir.
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, kemudian berhasil memperoleh jaringan sagu hati buat Poland menerusi sepakan penalti pada penghujung masa kecederaan tetapi ia sudah terlalu lewat untuk mengubah nasib paskuannya.
Perancis, bimbingan Didier Deschamps, seterusnya akan menantikan pemenang di antara England dan Senegal bagi penentuan ke separuh akhir pada Sabtu ini.
#bola sepak #Olivier Giroud #Poland #Kylian Mbappe #Perancis #Piala Dunia Qatar
;