Piala Dunia Qatar: Milan bangga pulih sentuhan berbisa Olivier Giroud
Shaiful Shamsudin
December 12, 2022 12:21 MYT
December 12, 2022 12:21 MYT
Milan memainkan peranan dalam misi Perancis untuk mempertahankan Piala Dunia di Qatar selepas mengembalikan ketajaman penyerang, Olivier Giroud, menurut presiden kelab Serie A itu, Paolo Scaroni.
Perancis kekal di landasan tepat untuk muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 untuk mengekalkan trofi itu selepas menewaskan England 2-1 kelmarin bagi menempah pertemuan separuh akhir dengan Maghribi, awal pagi Khamis ini.
Giroud muncul wira dengan meledak gol kemenangan bagi menyingkirkan England untuk koleksi gol keempatnya di Qatar sementara rakan sepasukan, Kylian Mbappe, mencetak lima gol.
Pemain berusia 36 tahun itu juga berada dalam prestasi hebat bersama Milan musim ini apabila terlibat secara langsung dalam menghasilkan 14 gol (sembilan gol dan lima bantuan jaringan) dalam 19 perlawanan.
Dia telah merakamkan 23 gol dalam 57 perlawanan sejak tiba dari Chelsea awal musim lalu, sekali gus merupakan penggempur paling berbisa kelab itu ketika ini.
Tatkala Giroud terus mempamerkan prestasi hebatnya di pentas terbesar di sebalik usianya, Scaroni berkata Perancis harus berterima kasih kepada Milan.
"Dia beraksi dengan sangat baik. Saya fikir kemaraan Perancis ke separuh akhir adalah disebabkan olehnya," kata ketua Rossoneri, Scaroni kepada Sky Sport Italia.
"Kami di Milan telah membangkitkannya. Saya tidak pasti adakah saya patut mengatakannya, tetapi saya beranggapan dia telah menemui motivasi baru apabila menyertai kami dan dia menjelmakannya pula ke pasukan kebangsaan.
"Jadi boleh dikatakan bahawa kami juga memainkan peranan kecil dalam kejayaan yang dicapai oleh Perancis setakat ini."