Legenda Brazil, Pele, menghantar ucapan tahniah kepada Argentina selepas kemenangan menakjubkan di Piala Dunia Qatar, menyifatkan Lionel Messi telah melengkapkan takdirnya untuk bergelar juara dunia.

Pele, yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, telah memberi perhatian kepada acara di Qatar 2022 dan berkata kemenangan trofi Argentina akan menggembirakan mendiang Diego Maradona.

Detik penting buat Messi yang berusia 35 tahun bermakna dia akhirnya memenangi Piala Dunia, menyamai rakan senegara, Maradona, yang menjadi pendorong di belakang kemenangan Argentina pada Mexico 1986. Maradona meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun.

"Tahniah Argentina! Pasti Diego sedang tersenyum sekarang," kata Pele di Instagram.

Terdapat simpati daripada Pele yang berusia 82 tahun untuk Kylian Mbappe, yang meratapi kekalahan pasukan walaupun menjaringkan dua sepakan penalti dan satu percubaan voli yang menakjubkan untuk melengkapkan hatrik kedua dalam perlawanan akhir Piala Dunia, selepas Geoff Hurst pada 1966 untuk England ketika menentang Jerman Barat.

Argentina menjulang trofi selepas perlawanan beraksi seri 3-3 selepas tamat 120 minit tempoh permainan, dan memenangi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas percubaan meliar daripada Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni.



Messi menjaringkan dua gol sebelum dia dan rakan sepasukan Paris Saint-Germain, Mbappe menyempurnakan sepakan penalti pada awal penentuan sepakan itu.

Bola Emas, untuk pemain terbaik kejohanan, menjadi milik Messi buat kali kedua, manakala Mbappe menamatkan sebagai penjaring terbanyak dengan lapan gol, memperoleh Kasut Emas.