Rigobert Song melahirkan kekesalan terhadap dua perlawanan awal membabitkan Cameroon dalam Piala Dunia di Qatar selepas terkandas dalam Kumpulan G biarpun menjadi pasukan Afrika pertama yang menewaskan Brazil di pentas itu.

Cameroon perlu menewaskan calon juara awal pagi tadi demi menghidupkan peluang ke pusingan 16, dan mereka melakukannya dengan dramatik apabila Vincent Aboubakar menyumbat gol kemenangan pada masa kecederaan sebelum menerima padah mengutip kad kuning kedua kerana meraikan jaringannya dengan menanggalkan jersi.

Bagaimanapun, kemenangan mendebarkan 3-2 Switzerland ke atas Serbia menyaksikan pasukan kendalian Murat Yakin itu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan dua mata di hadapan Cameroon, sekali gus menyingkirkan mereka di peringkat kumpulan buat kali keenam berturut-turut.



The Indomitable Lions sekurang-kurangnya boleh berbangga apabila menamatkan rekod sempurna Brazil yang menang ketujuh-tujuh perlawanan bertemu wakil Afrika dalam Piala Dunia, tetapi Song berpendapat keputusan itu membuktikan bahawa Cameroon mampu pergi lebih jauh.

"Saya tidak sedar bahawa ini adalah satu kemenangan bersejarah. Kami adalah salah wakil Afrika yang paling kerap tampil dalam Piala Dunia dan kini kami telah menewaskan Brazil," kata Song.




"Pemain saya patut diucap tahniah. Pada malam ini mereka menunjukkan bahawa mereka sebenar mampu melakukan yang lebih baik lagi dalam dua perlawanan pertama (kekalahan 0-1 kepada Switzerland dan seri 3-3 dengan Serbia).

"Saya rasa memang wujud kekesalan oleh kami. Kami baru sedar bahawa kami sepatutnya mampu menjelmakan prestasi yang lebih baik lagi. Tetapi kami juga perlu melihat aspek positif.

“Saya cuba mencari semangat sepasukan, semangat singa yang perlu menjadi kunci kepada pasukan Cameroon.

"Kini kami sedar dengan kemampuan sebenar kami dalam kejohanan ini. Kami merupakan pasukan mentah dan hari ini kita telah melihat pasukan muda kami makin kuat dan lebih mantap."