Pertahanan Belgium, Timothy Castagne, yakin penyokong The Red Devils akan dapat menyaksikan semula aksi terbaik yang bakal dipamerkan Eden Hazard dalam Piala Dunia Qatar 2022.

Bekas pemain sayap Chelsea itu sentiasa bergelut dengan masalah kecederaan sejak menyertai kelab gergasi LaLiga, Real Madrid, tiga tahun lalu.

Akan menjangkau usia 32 tahun pada Januari ini, Hazard hanya dapat menghasilkan dua gol dan satu bantuan jaringan daripada 15 perlawanan dengan Madrid sepanjang 2022, di mana dia hanya dapat memulakan empat perlawanan dan mengumpulkan 532 minit permainan bersama pasukan utama.

Kini, Hazard, yang hanya memiliki baki 18 bulan tempoh kontraknya, berpeluang untuk kembali mencuri tumpuan bersama Belgium di Qatar.

Pertahanan sayap Leicester City, Castagne, berkata rakan sepasukannya itu memerlukan masa untuk mendapatkan kembali kepantasannya tetapi apabila dia menemukannya, tiada alasan untuk dia tidak dapat kembali mempamerkan aksi terbaiknya.

"Rakyat Belgium mahu kembali menyaksikan Eden seperti beberapa tahun lalu," katanya dalam sidang media.

"Sebagai pemain, kami dapat melihat sewaktu latihan bahawa dia masih ada kemampuan.

"Tetapi kami juga sedar untuk kembali beraksi selepas tidak banyak bermain bukanlah sesuatu yang mudah.

"Dia memerlukan sedikit masa dan saya fikir 60 minit yang diperolehnya (ketika menentang Mesir pada Jumaat lalu) amat bagus untuknya.

"Dan kemudian, dia akan mencuba meningkatkannya dalam kejohanan ini. Ia tidak akan berlaku dengan segera -- dia pasti tidak terlalu bagus dalam perlawanan pertama tetapi sedikit demi sedikit, dia akan berkembang dan bertambah baik," katanya.

Belgium akan memulakan kempen dengan menentang Kanada awal pagi Khamis ini sebelum berdepan Maghribi dan Croatia dalam saingan Kumpulan F.