Hantaran mesej Lionel Messi di Instagram ketika meraikan kemenangan Piala Dunia buat Argentina kini merupakan imej paling popular dalam sejarah platform media sosial itu apabila menerima tanda suka oleh 56 juta peminat.

Messi akhirnya memenangi gelaran terbesar bola sepak antarabangsa itu selepas pemain Argentina tersebut menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan penalti berikutan seri 3-3 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Lusail, kelmarin.

Bagi pemilik Ballon d'Or tujuh kali itu, ia melengkapkan statusnya sebagai pemain bola sepak terhebat dalam generasinya dan boleh dikatakan paling dramatik sepanjang zaman.

Kini, Messi mengukir satu lagi rekod apabila mengatasi hantaran 'World Record Egg' yang memperoleh 55.9 juta tanda suka.

A post shared by Leo Messi (@leomessi)



“Terima kasih banyak kepada keluarga, kepada semua yang menyokong saya dan juga kepada semua yang mempercayai kami,” tulis pemain berusia 35 tahun itu dalam kapsyennya.

“Kami membuktikan sekali lagi kepada rakyat Argentina apabila kami berjuang bersama-sama dan bersatu, kami mampu mencapai apa yang kami ingin lakukan.

"Pujian buat kumpulan ini yang melebihi sebarang individu. Kekuatan kami berjuang untuk impian yang sama yang juga menjadi impian semua warga Argentina... Kami berjaya!!!"

Messi -- yang dinamakan sebagai penerima Bola Emas Piala Dunia buat kali kedua -- menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir selain menyempurnakan tugasannya mengetuai penentuan sepakan penalti.