Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, memuji pemain tengah England, Jordan Henderson, atas persembahannya dalam Piala Dunia yang tiada celanya.

Henderson tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan pertama Kumpulan B melibatkan The Three Lions, tetapi sejak diberi kepercayaan dia membawa pengaruh besar ketika menentang Wales dan kemenangan pusingan 16 ke atas Senegal.

Tonggak tengah Liverpool itu memecah kebuntuan ketika bertemu Senegal apabila menjadi penjaring kedua tertua negaranya dalam pusingan akhir ketika berusia 32 tahun dan 170 hari untuk mengatasi rekod Tom Finney -- pada usia 36 tahun dan 64 hari -- ketika bertemu USSR pada 1958.

Gerrard kagum dengan kualiti kepimpinan bekas rakan sepasukannya di The Reds itu dan percaya sumbangannya kadangkala dipandang rendah.

"Jelas sekali sebagai peminat England saya mengikuti perkembangan England dan Jordan dari sudut pandangan peribadi. Saya rasa dia sangat padu, baik di dalam mahupun di luar padang," kata Gerrard kepada Liverpoolfc.com.



“Dia adalah pemain terbaik perlawanan dalam aksi terakhirnya dan dia menutup mulut beberapa pengkritik atas beberapa sebab yang seolah-olah menuding jari kepada Jordan.

"Sebagai pemain tengah yang pernah berada di sekitar Jordan setiap hari, untuk melihat pengorbanan, dedikasinya dan apa yang dilakukannya dalam persiapan peribadinya, kerja keras yang dicurahkan, saya tidak terkejut dia mampu memperagakan prestasi seperti ini di tahap ini. Dan saya gembira bagi pihaknya.

"Tetapi nampaknya seolah-olah ramai orang di luar keluarga LFC yang tidak malu menuding jari ke arahnya jadi saya gembira kerana dia telah menutup mulut beberapa pihak."