Pasangan hidup Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez, mengkritik taktik ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, selepas negara itu dikejutkan oleh Maghribi dalam suku Piala Dunia di Qatar, tengah malam tadi.

Penyerang berusia 37 tahun itu diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan kedua berturut-turut ketika pasukannya tumbang hasil jaringan tunggal Youssef En-Nesyri daripada tandukan.

Walaupun Ronaldo kemudian diperkenalkan sejurus permulaan separuh masa kedua, dia gagal mencetuskan impak.

Pemain itu meluru ke terowong pemain dalam keadaan teresak-esak sebaik Portugal terkandas, lalu mendorong Rodriguez bertindak melancarkan kata-kata pedas buat Santos.

"Hari ini, rakan dan jurulatih anda membuat keputusan yang silap," tulisnya di Instagram.


"Sahabat itu yang menyatakan banyak kekaguman kepada anda dan amat menghormati anda.

“Rakan yang sama yang meletakkan anda di padang, melihat bagaimana segala-galanya berubah tetapi ia sudah terlambat.

"Anda tidak boleh mengetepikan pemain terbaik di dunia dan senjata paling berkuasa yang anda miliki, sama seperti anda tidak boleh membela seseorang yang tidak layak."

Ronaldo hampir pasti tampil dalam perlawanan terakhirnya dalam Piala Dunia dan masih belum dapat dipastikan adakah dia akan meneruskan kariernya di peringkat kelab memandang telah dilepaskan oleh Manchester United.

Walaupun Ronaldo membayangkan dia masih boleh beraksi hingga Piala Dunia 2026, persoalan masa depannya bersama pasukan kebangsaan juga menjadi tumpuan.